DEFINISI KONSEP
Konsep Pakaian
Tradisional Masyarakat Melayu boleh
diklasifikasikan seperti berikut: Menurut Kamus Dewan Pelajar Edisi Kedua Pakaian membawa makna apa-apa sahaja yang
dipakai di badan seperti baju dan seluar. Manakala Tradisional bermaksud bersifat atau bercorak
tradisi; dan Masyarakat merangkumi umat manusia, kelompok
manusia, komuniti, bangsa, kaum, suku, puak, kumpulan etnik, ras, orang ramai,
khalayak ramai, penduduk dan mujtamak. Konsep Melayu pula adalah nama asal bangsa yang
mendiami seluruh daerah Nusantara di Asia Tenggara serta bahasanya, atau
dikenali sebagai nama suku bangsa terutama di Tanah Melayu. Jadi Konsep Pakaian
Tradisi Masyarakat Melayu merangkumi apa-apa sahaja yang dipakai oleh bangsa
atau kaum yang berasal dari suku bangsa dari Tanah Melayu dan bersifat tradisi.
Baju Melayu yang biasa di pakai di Malaysia dan
negara serantau biasanya terbahagi kepada dua, iaitu baju Melayu potongan Teluk
Belanga dan potongan Cekak Musang. Baju Melayu Teluk Belanga biasanya lebih
terkenal di selatan Malaysia
sementara potongan Cekak Musang di kawasan tengah dan utara Malaysia .
Potongan tersebut merujuk kepada cara jahitan pada leher baju tersebut.
Terdapat berbagai bentuk sulaman yang dipadankan seperti Mata Lalat, Tulang
Belut dan sebagainya.
1.1 SEJARAHNYA
Baju kurung ini telah digunakan oleh lelaki dan perempuan sejak
100 tahun dahulu. Telah diberi nama sedemikian oleh Almarhum Sultan Abu Bakar
iaitu Sultan Johor sempena baginda bersemayam di Teluk Belanga. Baju ini juga
dikenali sebagai Baju Johor. Justeru itu, hingga ke hari ini baju tersebut
dikenali sebagai Baju Johor atau Baju Kurung Teluk Belanga. Baju ini mula di perkenalkan di Teluk
Belanga, Singapura dan tersebar luas sebagai ciri khas Johor khususnya pada
abad ke-19. Ia juga dikatakan sejenis pakaian lelaki yang dikatakan direka oleh
Sultan Abu Bakar pada tahun 1866 untuk meraikan perpindahan ibu negeri Johor
dari Teluk Belanga di Singapura ke Johor Bahru. Walau bagaimanapun istilah ini
akhirnya menjadi ciri khas masyarakat Melayu hingga disebut selengkapnya ‘Baju
Melayu’.
1.2 CIRI-CIRINYA
Baju ini merupakan baju yang longgar dan selesa dipakai oleh golongan
dewasa. Pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, baju ini telah dihasilkan
dalam bentuk yang longgar dan agak labuh hingga ke tengah betis. Selain itu, ia
mempunyai pesak yang kembang di kiri dan kanan badan. Penggunaan kekek gantung
di bahagian ketiak dengan lengan baju yang longgar dan lebar anggaran
sejengkal. Berdasarkan ciri-ciri baju ini ia mementingkan keselesaan si
pemakainya. Baju Melayu dijahit
dalam dua cara iaitu berpesak atau potongan moden atau dipanggil potongan Cina.
Di mana lengan baju tersebut disambungkan kepada badan baju. Iaitu secara di
sambung terus atau di jahitkan kebahagian lain yang dinamakan pesak dan kekek.
1.3 CARA PEMBUATANNYA
Cara pembuatannya dengan menyambungkan pesak, kekek dan
lengan baju dengan badan baju menggunakan mesin jahitan. Kemudian ianya dikelim
dan dijahit sembat pula menggunakan tangan secara manual tetapi dengan jahitan
yang halus. Tepi lengan dan kaki baju dilipat dan dijahit sembat juga secara
manual. Leher Baju Kurung Teluk Belanga dibuat bulat seperti bulan ( ia
dipanggil bulan-bulan) dan dibelah menurun di bahagian depan. Tepi lubang leher
dijahit menggunakan sulaman halus yang diberi nama ’’Tulang Belut’’. Leher baju
dibuat sedemikian untuk menguatkan jahitan agar tidak mudah koyak dan kelihatan
lebih menarik.
Pada leher baju pula, dikenakan sebutir kancing
berlengkang. Kancing ini biasanya berbentuk bulat dan diperbuat dari emas atau
perak dan bertatahkan permata. Seterusnya, di bahagian sebelah kiri baju ini di
bahagian pinggang atau rusuk baju disediakan poket kecil. Kegunaannya untuk
menyimpan sapu tangan kecil atau barangan yang halus sahaja. Pada kebiasaannya,
baju kurung ini dipakai dengan kain sarung yang diikat berombak-ombak di rusuk
sebelah kiri atau kanan yang juga dikenali sebagai ’’ombak mengalun’’. Manakala
kepala kain diletak di sebelah belakang. Cara
memakai baju juga terdapat perbezaan dimana bagi baju Melayu Teluk Belanga
biasanya sampin dipakai diluar baju. Inilah
kesenian yang kekal dan masih digunakan hingga sekarang. Namun perubahan zaman
telah merubah sedikit bentuk klasikal yang terdapat pada pakaian ini.
2.1 SEJARAHNYA
Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua
jenis iaitu Baju Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang. Baju ini biasanya
dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga
bagi menunaikan Sembahyang Jumaat. Selain
itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi.
Pemakai Baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila ia mengenakan samping dan
songket. Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat , ia
dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera.
2.2 CIRI-CIRINYA
Istilah ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju,
tengkuk ‘cekak’ tinggi atau leher tegak empang leher. Pengertian ‘cekak musang’
merakamkan imej alami untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri (2.5cm)
melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran (bulat) yang dibuat dengan
ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Cekak Musang berbentuk seperti leher baju
India
hanya bahagian penutup atau rumah butangnya bertindan. Baju ini mula dipakai di
Johor ketika pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar, baju Melayu
Cekak Musang baju di dalam sampin.
Baju Kurung Cekak Musang adalah sama dengan Baju Kurung Teluk
Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher
baju kurung cekak musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan
kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang
berkancing. Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing
pada bukaannya. Butang emas atau emas berbatu permata digunakan sebagai
pengancingnya. Kancing yang paling terkenal ialah kancing emas yang dipanggil
garam sebuku dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai kunang-kunang
sekebun.
3.0 BAJU KEBAYA PANJANG
3.0 BAJU KEBAYA PANJANG
3.1 CIRI-CIRINYA
Walaupun wanita Johor
terkenal dengan baju kurung, tetapi dalam acara majlis, mereka muncul juga
dengan memakai kebaya, sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau. Pola baju
belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi
potongannya labuh sehingga buku lali. Cuma bezanya ia berbelah dan berpesak di
hadapan baju ini, umumnya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara
rasmi. Baju belah panjang ini terkenal di Melaka, Perak, Selangor dan
Kedah-Perlis. Baju kurung belah ini kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’
dan ‘kebaya panjang’. Tradisi ini berkembang menjadi kebaya dan bertangan
panjang berpesak lurus di hadapan, berkekek dan berbelah dada yang ditutup
dengan kancing atau kerongsang tiga.
Baju kebaya dipakai oleh
wanita Melayu. Ada
dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu
berasal daripada perkataan Arabhabaya yang
bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian
seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah
lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita
Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.
4.1 CIRI-CIRINYA
Baju
kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih.Tangannya
panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke
bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan
berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga
kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini
dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan di atas
sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu
dipanggil anak.
Kebaya ada pelbagai gaya .
Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya
sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang
pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher
berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian
hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain; malah turut dipasangkan
kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu. Baju kebaya sesuai untuk
pakaian harian dan juga pakaian pengantin. Bagi pakaian harian, baju kebaya
sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera (bagi yang berada)
dan dipadankan dengan kain sarung. Selendang hanya dikenakan apabila keluar rumah.
Bagi pengantin pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang
dengan kain sarungnya. Selendangnya
juga diperbuat daripada songket.
5.0 BAJU KURUNG
5.1 SEJARAHNYA
Baju
kurung dianggap popular dan dipakai oleh lelaki dan perempuan. Perbezaannya
terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai tiga kocek manakala
perempuan mempunyai satu kocek serta perbezaan daripada segi pemakaian.
Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau
menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah
kedatangan Islam sehinggalah
istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau
panjang. Sehingga disebut dengan berbagai-bagai nama misalnya ‘baju kurung
bernyawa’ walaupun mempunyai pelbagai nama namun baju kurung telah menampilkan
ciri-ciri yang tersendiri.
5.2 CIRI-CIRINYA
Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah hadapan baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya hingga ke lutut dengan satu kocek di dada kiri atau pun tanpa kocek. Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang samada seluar Acheh atau Seluar Panjut. Kaum wanita pula memadankannya bersama kain samada kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini.
Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah hadapan baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya hingga ke lutut dengan satu kocek di dada kiri atau pun tanpa kocek. Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang samada seluar Acheh atau Seluar Panjut. Kaum wanita pula memadankannya bersama kain samada kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini.
6.0 BAJU KURUNG KEDAH
6.1 SEJARAHNYA
Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari selatanThailand di mana wanitanya kini
memakai baju berleher potongan bujur sireh. Ianya dikenakan bersahaja,
ketika bekerja di rumah sebagai pakaian harian. Baju kurung Kedah selalunya
diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang
jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat
yang diikat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.
6.1 SEJARAHNYA
Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari selatan
Pakaian batik Malaysia
adalah kehalusan seni rekaan yang mempamerkan kreativiti ketinggian seni
kebudayaan Malaysia
khususnya masyarakat Melayu. Pembuatan pakaian ini secara luasnya terdapat di
negeri Kelantan dan Terengganu. Pembuatannya yang rumit membuatkan harganya
sedikit mahal berbanding dengan baju-baju tradisi yang lain. Pemakaian baju
batik telah banyak diketengahkan dalam acara rasmi seperti perasmian sesuatu
majlis dan pelbagai majlis bukan rasmi. Dewasa ini, kerajaan telah mewajibkan
pemakaian baju batik di setiap jabatan kerajaan pada setiap hari Khamis untuk
memberi sokongan terhadap industri batik. Ini menunjukkan baju batik telah
menjadi sebahagian baju tradisi yang terus diwarisi.
7.1 SEJARAHNYA
Sejarah pemakaian batik di Malaysia telah
bermula sejak abad ke-15, batik telah banyak menerima pengaruh secara langsung
dari daerah-daerah lain di Kepulauan Melayu seperti Pulau Jawa. Sejarah telah
mencatatkan bahawa Indonesia
adalah pembuat batik yang utama sejak abad ke12. Ini diikuti oleh Malaysia .
Pemakaian baju batik amat sinonim dengan wanita yang dikaitkan dengan sikap
seorang wanita yang lemah lembut dan bersopan santun. Ini dibuktikan oleh
sejarah di mana batik telah dipakai oleh golongan wanita sejak 200 tahun yang
lalu. Dalam masyarakat Malaysia ,
pemakaian batik telah meluas digunakan sebagai kain sarung, baju kemeja dan
baju kurung.
7.2
CIRI-CIRINYA
Baju batik
mengadaptasikan pelbagai jenis batik antaranya Batik Lukis dan Batik Cap. Batik
Lukis mempunyai corak yang menarik dan unik. Ia dihasilkan mengikut kreativiti
dan kemahiran pelukis. Warna yang selalu dihasilkan adalah warna putih dan
hitam. Batik Cap lebih seragam. Coraknya berulang-ulang dan corak yang selalu
kita lihat ialah pada kain sarung. Kain sarung amat popular di kalangan wanita
–wanita Melayu. Batik sarung ini di pakai sebagai pakaian seharian atau kain
basahan. Biasanya kain ini hanya dijahit di bahagian tepi kain untuk
menyambungkan kedua-dua bahagian. Batik lepas pula adalah lebih panjang dan
tidak perlu dijahit apabila hendak dipakai. Batik lepas juga digunakan oleh si
ibu untuk menggendong anak apabila keluar bekerja di sawah.
Corak
batik lepas tiada berkepala dan warnanya juga senada. Kain batik lepas dipakai
oleh wanita ketika menghadiri majlis-majlis rasmi yang dipadankan dengan
kebaya. Terdapat pelbagai corak
tradisional Melayu yang sering dilakar pada batik ialah bunga, seperti Bunga
Pecah Lapan, Bunga Berbaling, Tampuk Manggis, Sula Bakung, Daun Keladi dan
sebagainya.
7.3 CARA-CARA PEMBUATANNYA
Bahan-bahan
utama yang digunakan untuk menghasilkan batik ialah kain, lilin, canting, blok untuk mengecap,
pewarna, kanji dan soda. Penyediaan perlu dilakukan sebelum membuat batik
antaranya meja yang tinggi separas pinggang. Meja ini dialas dengan kelopak
batang pisang yang berupaya menyerap lilin yang dicetak pada permukaan kain.
Kemudian sebuah kuali yang berisi lilin cair diletakkan berhampiran pelukis.
Sebuah kuali lagi disediakan untuk mendidihkan air bagi proses menanggalkan
lilin.
Proses seterusnya
ialah mencanting, kain yang direntang akan dicorakkan menggunakan canting.
Proses mencanting adalah sebagai melakar semula dengan cecair lilin bagi
memudahkan proses mewarna. Seterusnya proses mewarna, corak-corak yang dilakar
akan diwarnakan dengan menggunakan cat air, kemudian dikeringkan di dalam bilik
khas selama satu hari. Selepas kering, kain akan dimatikan warnanya dengan
direndam di dalam larutan sodium silicat selama 6-12 jam. Kemudian kain direbus
dengan larutan soda untuk menghilangkan lilin. Akhir sekali kain dicuci dengan
air bersih dan dikeringkan di bawah cahaya matahari.
8.0 CELANA
Pada
masa dahulu, lelaki golongan istana dan golongan berada memakai seluar yang
besar dan longgar yang dikenali sebagai kain seluar, seluar Aceh atau seluar
Lambok. Kain seluar ada yang
pendek dan ada yang panjang. Kain seluar yang pendek hanya separas lutut dan
biasanya dipakai untuk bersantai di rumah. Kain seluar yang panjang pula adalah
separas betis dan digunakan ketika keluar rumah atau ke majlis rasmi. Kaki dan
pinggang kain seluar sangat lebar. Kain seluar terdiri daripada lapan
bahagian yang dicantumkan. Empat
bahagian yang di tengah berfungsi sebagai kekek supaya selesa dipakai. Kain
seluar dipakai seperti memakai samping; melipat ke hadapan (box-pleat) dan
menggulungnya atau mengikatnya dengan tali pinggang.
Kain seluar dilengkapi dengan satu poket. Poket dibuat
pada bahagian hadapan sebelah kiri seluar (bukan pada kekeknya). Kain seluar
diperbuat daripada sutera yang berwarna-warni dari kain songket emas atau
perak. Bahagian yang paling
banyak bunga songketnya ialah bahagian hujung kaki dan bukaan poket. Satu
lagi seluar yang kerap dipakai ialah seluar panjang atau seluar panjut. Seluar
panjang juga lebar bahagian pinggangnya. Pada kelepet pinggang seluar panjang
ada lubang kecil bagi memasukkan pita atau tali pinggang yang digunakan untuk
memanjut seluar ini. Seluar panjang terdiri daripada empat bahagian sahaja
kerana seluar panjang tidak berkekek seperti kain seluar. Kaki seluar panjang
menirus ke bawah. Pada bahagian sisi kaki seluar panjang ada bukaan yang
dipasangkan butang. Biasanya lima
atau enam butang digunakan. Panjang seluar ini mencecah buku lali.
Kain sarung Melayu terdiri daripada sebidang kain lebar
yang dicantumkan kedua-dua hujungnya. Kain
sarung diperbuat daripada benang kapas dan sutera. Ada juga kain sarung yang diperbuat daripada
tenunan songket. Biasanya kain sarung songket hanya dipakai apabila ada majlis
rasmi atau sebagai pakaian pengantin. Kaum lelaki memakai kain sarung dengan
baju Melayu. Kain sarung dilipat ke hadapan (dari sisi kiri dan kanan;
box-pleat) dan digulung. Kaki kain dilepaskan hingga ke buku lali, Jika kain
sarung dipakai bersama-sama seluar, kaki kain sarung disingkatkan hingga ke
paras lutut dan menjadi samping. Kaum wanita memakai sarung bersama-sama baju
kurung atau baju kebaya. Kain sarung diikat atau dililit di pinggang. Kaum
wanita mengikat sarung dengan pelbagai cara. Iaitu dengan cara membuat satu
lipatan yang ditindan ke hadapan badan, atau dengan lipatan-lipatan kecil yang
dikumpulkan pada salah satu sisi badan; dikenali sebagai ombak mengalun. Untuk
mengemaskan atau memastikan kain sarung tidak terlucut, tali pinggang atau pita
kain digunakan untuk mengikatnya.
Kepala kain atau bahagian yang pada
kain itu dihalakan ke belakang. Ada dua sebab mengapa kain itu dipakai di
belakang, pertama, untuk memastikan bahagian itu terserlah; tidak termasuk ke
lipatan kain (pada bahagian depan) dan kedua, supaya kelihatan sopan apabila
membelakangkan orang di mana kepala kain yang cantik itu menjadi tarikan kepada
orang yang membelakangkan. Kaum wanita juga memakai sehelai lagi kain
sarung di atas bajunya. Kain sarung ini dipakai dengan tiga cara. Cara pentama
dipanggil dagang luar. Dalam cara ini, kain sarung dikumpul di sisi badan dan
disauk dengan tangan. Kepala kain dihalakan ke belakang. Cara yang kedua
dipanggil kain tudung. Dalam cara ini, kain sarung dipakai menyelubungi kepala.
Tujuannya ialah untuk melindungi si pemakai daripada cuaca panas. Kepala kain
diletakkan di atas kepala. Cara yang ketiga pula dipanggil kain selempang.
Dalam cara ini, kain sarung dikedut menjadi gelungan dan diselempangkan di
bahu. Kepala kain diletakkan di hadapan badan.
Samping mirip seperti kain
sarung, bezanya cuma samping lebih pendek daripada kain sarung. Samping dipakai
oleh kaum lelaki Melayu bersama-sama baju Melayu dan seluar panjang. Samping
diikat di pinggang di sebelah luar, di atas baju dan seluar. Bahagian kaki
samping dilepas hingga ke lutut atau betis. Samping dipakai dengan cara
melipat sisi kiri dan sisi kanannya supaya bertindan di tengah-tengah di
hadapan badan (box-pleat). Kemudian bahagian yang bertindan itu digulung atau
dikemaskan dengan tali pinggang ataupun bengkong. Selain daripada cara yang
disebutkan di atas, samping juga dipakai dengan pelbagai gaya supaya lebih
menarik. Antaranya ialah dengan cara melipat-lipatnya di sisi badan dan
menyimpulnya dengan simpulan seperti tanduk atau bunga, mengikatnya dengan tali
pinggang atau bengkong. Jika tali pinggang digunakan, pending dipasangkan
menjadi kepala tali pinggang supaya nampak lebih kemas dan lebih hebat.
Pada asalnya samping
lelaki adalah panjang hingga ke buku lali dengan bahagian hadapannya
disingkatkan bagi menampakkan seluar di bahagian dalamnya. Kini samping yang
lebih pendek; kakinya hingga ke paras lutut lebih digemari kerana lebih ringkas
dan lebih selesa dipakai. Di sesetengah tempat, di Johor misalnya, samping
dipakai oleh kaum lelaki di sebelah dalam di bawah baju kurung Teluk Belanga
mereka. Samping yang dipakai dengan cara ini dipanggil kain samping dagang
dalam.
Selendang biasa adalah lebih kecil
dan lebih nipis daripada selendang panjang. Bagaimanapun corak selendang biasa
lebih digemari kerana lebih ringkas dipakai. Selendang biasa dipakai dengan
menyangkutkannya di atas satu bahu ataupun kedua-dua bahu; menutupi kepala dan
bahu; diselempang di bahu kemudian melintasi badan dan diikat di pinggang;
disangkut di bahu dengan hujung yang di belakang diselempangkan di belakang
badan dan disangkutkan pada tangan (hujung yang satu bagi dilepaskan dihadapan
badan) dan pelbagai cara lagi.
Selendang biasa diperbuat daripada
tenunan sutera yang sudah menjalani proses ikat dan celup atau dikenali dengan
nama kain limar. Sisi selendang biasa dikemaskan dengan tenunan benang emas.
Kadang-kadang selendang ini juga disongket atau disulam dengan bunga emas. Di
Kelantan, selendang biasa dipakai oleh kaum wanita sebagai kain kemban semasa
mengenakan pakaian Cik Siti Wan Kembang. Selendang biasa juga turut digunakan
dalam upacara lenggang perut iaitu upacara yang dibuat ketika
wanita mengandung tujuh bulan.
12.0 RUMUSAN
Pada
umumnya, adat resam budaya yang kita bina sejak berabad lama perlu dikekalkan
dan dipelihara untuk kesinambungan generasi akan datang. Masyarakat Melayu menitikberatkan
keperibadian luhur dan murni, serta dibekalkan dengan pakaian tradisi untuk
melindungi anggota badan. Justeru itu, perkara ini perlu diteruskan sebagai
satu usaha memelihara pakaian tradisional masyarakat Melayu agar terus dikenali
sejajar dengan perkembangan dunia fesyen tanahair. Walaupun persaingan dunia
peragaan dan busana telah berkembang pesat, tetapi permintaan terhadap pakaian
tradisional Melayu masih mendapat tempat di hati masyarakat kita. Ini
bertepatan dengan peribahasa Melayu yang berbunyi ’Tak lekang dek panas dan Tak
lapok dek hujan’. Semoga kegemilangan pakaian tradisional Melayu akan terus
terpelihara dan berterusan dari satu generasi ke generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment