Saturday 3 September 2016

DEFINISI KONSEP
            
Konsep Pakaian Tradisional Masyarakat Melayu boleh diklasifikasikan seperti berikut: Menurut Kamus Dewan Pelajar Edisi Kedua Pakaian membawa makna apa-apa sahaja yang dipakai di badan seperti baju dan seluar. Manakala Tradisional bermaksud bersifat atau bercorak tradisi; dan Masyarakat merangkumi umat manusia, kelompok manusia, komuniti, bangsa, kaum, suku, puak, kumpulan etnik, ras, orang ramai, khalayak ramai, penduduk dan mujtamak. Konsep Melayu pula adalah nama asal bangsa yang mendiami seluruh daerah Nusantara di Asia Tenggara serta bahasanya, atau dikenali sebagai nama suku bangsa terutama di Tanah Melayu. Jadi Konsep Pakaian Tradisi Masyarakat Melayu merangkumi apa-apa sahaja yang dipakai oleh bangsa atau kaum yang berasal dari suku bangsa dari Tanah Melayu dan bersifat tradisi.


1. BAJU MELAYU TELUK BELANGA




               Baju Melayu yang biasa di pakai di Malaysia dan negara serantau biasanya terbahagi kepada dua, iaitu baju Melayu potongan Teluk Belanga dan potongan Cekak Musang. Baju Melayu Teluk Belanga biasanya lebih terkenal di selatan Malaysia sementara potongan Cekak Musang di kawasan tengah dan utara Malaysia. Potongan tersebut merujuk kepada cara jahitan pada leher baju tersebut. Terdapat berbagai bentuk sulaman yang dipadankan seperti Mata Lalat, Tulang Belut dan sebagainya.
1.1 SEJARAHNYA
             Baju kurung ini telah digunakan oleh lelaki dan perempuan sejak 100 tahun dahulu. Telah diberi nama sedemikian oleh Almarhum Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Johor sempena baginda bersemayam di Teluk Belanga. Baju ini juga dikenali sebagai Baju Johor. Justeru itu, hingga ke hari ini baju tersebut dikenali sebagai Baju Johor atau Baju Kurung Teluk Belanga. Baju ini mula di perkenalkan di Teluk Belanga, Singapura dan tersebar luas sebagai ciri khas Johor khususnya pada abad ke-19. Ia juga dikatakan sejenis pakaian lelaki yang dikatakan direka oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1866 untuk meraikan perpindahan ibu negeri Johor dari Teluk Belanga di Singapura ke Johor Bahru. Walau bagaimanapun istilah ini akhirnya menjadi ciri khas masyarakat Melayu hingga disebut selengkapnya ‘Baju Melayu’.
1.2 CIRI-CIRINYA
            Baju ini merupakan baju yang longgar dan selesa dipakai oleh golongan dewasa. Pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, baju ini telah dihasilkan dalam bentuk yang longgar dan agak labuh hingga ke tengah betis. Selain itu, ia mempunyai pesak yang kembang di kiri dan kanan badan. Penggunaan kekek gantung di bahagian ketiak dengan lengan baju yang longgar dan lebar anggaran sejengkal. Berdasarkan ciri-ciri baju ini ia mementingkan keselesaan si pemakainya. Baju Melayu dijahit dalam dua cara iaitu berpesak atau potongan moden atau dipanggil potongan Cina. Di mana lengan baju tersebut disambungkan kepada badan baju. Iaitu secara di sambung terus atau di jahitkan kebahagian lain yang dinamakan pesak dan kekek.
1.3 CARA PEMBUATANNYA
           Cara pembuatannya dengan menyambungkan pesak, kekek dan lengan baju dengan badan baju menggunakan mesin jahitan. Kemudian ianya dikelim dan dijahit sembat pula menggunakan tangan secara manual tetapi dengan jahitan yang halus. Tepi lengan dan kaki baju dilipat dan dijahit sembat juga secara manual. Leher Baju Kurung Teluk Belanga dibuat bulat seperti bulan ( ia dipanggil bulan-bulan) dan dibelah menurun di bahagian depan. Tepi lubang leher dijahit menggunakan sulaman halus yang diberi nama ’’Tulang Belut’’. Leher baju dibuat sedemikian untuk menguatkan jahitan agar tidak mudah koyak dan kelihatan lebih menarik. 
           Pada leher baju pula, dikenakan sebutir kancing berlengkang. Kancing ini biasanya berbentuk bulat dan diperbuat dari emas atau perak dan bertatahkan permata. Seterusnya, di bahagian sebelah kiri baju ini di bahagian pinggang atau rusuk baju disediakan poket kecil. Kegunaannya untuk menyimpan sapu tangan kecil atau barangan yang halus sahaja. Pada kebiasaannya, baju kurung ini dipakai dengan kain sarung yang diikat berombak-ombak di rusuk sebelah kiri atau kanan yang juga dikenali sebagai ’’ombak mengalun’’. Manakala kepala kain diletak di sebelah belakang. Cara memakai baju juga terdapat perbezaan dimana bagi baju Melayu Teluk Belanga biasanya sampin dipakai diluar baju. Inilah kesenian yang kekal dan masih digunakan hingga sekarang. Namun perubahan zaman telah merubah sedikit bentuk klasikal yang terdapat pada pakaian ini.

2.0 BAJU CEKAK MUSANG



2.1 SEJARAHNYA
    Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua jenis iaitu Baju Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang. Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Sembahyang Jumaat. Selain itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi. Pemakai Baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila ia mengenakan samping dan songket. Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat, ia dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera.
2.2 CIRI-CIRINYA
              Istilah ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju, tengkuk ‘cekak’ tinggi atau leher tegak empang leher. Pengertian ‘cekak musang’ merakamkan imej alami untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri (2.5cm) melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran (bulat) yang dibuat dengan ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Cekak Musang berbentuk seperti leher baju India hanya bahagian penutup atau rumah butangnya bertindan. Baju ini mula dipakai di Johor ketika pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar, baju Melayu Cekak Musang baju di dalam sampin.
             Baju Kurung Cekak Musang adalah sama dengan Baju Kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher baju kurung cekak musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing pada bukaannya. Butang emas atau emas berbatu permata digunakan sebagai pengancingnya. Kancing yang paling terkenal ialah kancing emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai kunang-kunang sekebun.
3.0 BAJU KEBAYA PANJANG

3.1 CIRI-CIRINYA

Walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, tetapi dalam acara majlis, mereka muncul juga dengan memakai kebaya, sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau. Pola baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Cuma bezanya ia berbelah dan berpesak di hadapan baju ini, umumnya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi. Baju belah panjang ini terkenal di Melaka, Perak, Selangor dan Kedah-Perlis. Baju kurung belah ini kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’ dan ‘kebaya panjang’. Tradisi ini berkembang menjadi kebaya dan bertangan panjang berpesak lurus di hadapan, berkekek dan berbelah dada yang ditutup dengan kancing atau kerongsang tiga.
  Baju kebaya dipakai oleh wanita Melayu. Ada dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arabhabaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.

4.0 BAJU KEBAYA LABUH


4.1 CIRI-CIRINYA
             Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih.Tangannya panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak. 
              Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain; malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu. Baju kebaya sesuai untuk pakaian harian dan juga pakaian pengantin. Bagi pakaian harian, baju kebaya sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera (bagi yang berada) dan dipadankan dengan kain sarung. Selendang hanya dikenakan apabila keluar rumah. Bagi pengantin pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang dengan kain sarungnya. Selendangnya juga diperbuat daripada songket.

5.0 BAJU KURUNG


5.1 SEJARAHNYA
              Baju kurung dianggap popular dan dipakai oleh lelaki dan perempuan. Perbezaannya terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai tiga kocek manakala perempuan mempunyai satu kocek serta perbezaan daripada segi pemakaian. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Sehingga disebut dengan berbagai-bagai nama misalnya ‘baju kurung bernyawa’ walaupun mempunyai pelbagai nama namun baju kurung telah menampilkan ciri-ciri yang tersendiri.

5.2 CIRI-CIRINYA
             Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah hadapan baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya hingga ke lutut dengan satu kocek di dada kiri atau pun tanpa kocek. Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang samada seluar Acheh atau Seluar Panjut. Kaum wanita pula memadankannya bersama kain samada kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini.
             Pada masa dahulu, wanita Johor memadankan baju kurung dengan kain dagang luar, iaitu sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung untuk menudung kepala dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar berjalan. Kain dagang luar ini dikenakan di pinggang seperti kain samping lelaki dengan ombak-ombaknya di bawa ke rusuk kiri dan disaukkan pada lengan atau dipegang dengan tangan. Kain mantul, iaitu sehelai selendang pendek yang bertekat dengan kelingkan emas biasanya akan disangkutkan ke bahu apabila si pemakai mengenakan baju kurung dengan kain dagang luar ini. Walaubagaimanapun, baju kurung pada hari ini tidak lagi dipakai dengan kain-kain tradisional sebegini yang lazimnya hanya digunakan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu.
6.0 BAJU KURUNG KEDAH

6.1 SEJARAHNYA

                   Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari selatan Thailand di mana wanitanya kini memakai baju berleher potongan bujur sireh. Ianya dikenakan bersahaja, ketika bekerja di rumah sebagai pakaian harian. Baju kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat yang diikat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.
 7.0 PAKAIAN BATIK

   
                 Pakaian batik Malaysia adalah kehalusan seni rekaan yang mempamerkan kreativiti ketinggian seni kebudayaan Malaysia khususnya masyarakat Melayu. Pembuatan pakaian ini secara luasnya terdapat di negeri Kelantan dan Terengganu. Pembuatannya yang rumit membuatkan harganya sedikit mahal berbanding dengan baju-baju tradisi yang lain. Pemakaian baju batik telah banyak diketengahkan dalam acara rasmi seperti perasmian sesuatu majlis dan pelbagai majlis bukan rasmi. Dewasa ini, kerajaan telah mewajibkan pemakaian baju batik di setiap jabatan kerajaan pada setiap hari Khamis untuk memberi sokongan terhadap industri batik. Ini menunjukkan baju batik telah menjadi sebahagian baju tradisi yang terus diwarisi.

7.1 SEJARAHNYA
                                      Sejarah pemakaian batik di Malaysia telah bermula sejak abad ke-15, batik telah banyak menerima pengaruh secara langsung dari daerah-daerah lain di Kepulauan Melayu seperti Pulau Jawa. Sejarah telah mencatatkan bahawa Indonesia adalah pembuat batik yang utama sejak abad ke12. Ini diikuti oleh Malaysia. Pemakaian baju batik amat sinonim dengan wanita yang dikaitkan dengan sikap seorang wanita yang lemah lembut dan bersopan santun. Ini dibuktikan oleh sejarah di mana batik telah dipakai oleh golongan wanita sejak 200 tahun yang lalu. Dalam masyarakat Malaysia, pemakaian batik telah meluas digunakan sebagai kain sarung, baju kemeja dan baju kurung.

                       7.2 CIRI-CIRINYA
Baju batik mengadaptasikan pelbagai jenis batik antaranya Batik Lukis dan Batik Cap. Batik Lukis mempunyai corak yang menarik dan unik. Ia dihasilkan mengikut kreativiti dan kemahiran pelukis. Warna yang selalu dihasilkan adalah warna putih dan hitam. Batik Cap lebih seragam. Coraknya berulang-ulang dan corak yang selalu kita lihat ialah pada kain sarung. Kain sarung amat popular di kalangan wanita –wanita Melayu. Batik sarung ini di pakai sebagai pakaian seharian atau kain basahan. Biasanya kain ini hanya dijahit di bahagian tepi kain untuk menyambungkan kedua-dua bahagian. Batik lepas pula adalah lebih panjang dan tidak perlu dijahit apabila hendak dipakai. Batik lepas juga digunakan oleh si ibu untuk menggendong anak apabila keluar bekerja di sawah.
Corak batik lepas tiada berkepala dan warnanya juga senada. Kain batik lepas dipakai oleh wanita ketika menghadiri majlis-majlis rasmi yang dipadankan dengan kebaya. Terdapat pelbagai corak tradisional Melayu yang sering dilakar pada batik ialah bunga, seperti Bunga Pecah Lapan, Bunga Berbaling, Tampuk Manggis, Sula Bakung, Daun Keladi dan sebagainya.
7.3 CARA-CARA PEMBUATANNYA
Bahan-bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan batik ialah kain, lilin, canting, blok untuk mengecap, pewarna, kanji dan soda. Penyediaan perlu dilakukan sebelum membuat batik antaranya meja yang tinggi separas pinggang. Meja ini dialas dengan kelopak batang pisang yang berupaya menyerap lilin yang dicetak pada permukaan kain. Kemudian sebuah kuali yang berisi lilin cair diletakkan berhampiran pelukis. Sebuah kuali lagi disediakan untuk mendidihkan air bagi proses menanggalkan lilin.
Proses seterusnya ialah mencanting, kain yang direntang akan dicorakkan menggunakan canting. Proses mencanting adalah sebagai melakar semula dengan cecair lilin bagi memudahkan proses mewarna. Seterusnya proses mewarna, corak-corak yang dilakar akan diwarnakan dengan menggunakan cat air, kemudian dikeringkan di dalam bilik khas selama satu hari. Selepas kering, kain akan dimatikan warnanya dengan direndam di dalam larutan sodium silicat selama 6-12 jam. Kemudian kain direbus dengan larutan soda untuk menghilangkan lilin. Akhir sekali kain dicuci dengan air bersih dan dikeringkan di bawah cahaya matahari.

8.0 CELANA
             Pada masa dahulu, lelaki golongan istana dan golongan berada memakai seluar yang besar dan longgar yang dikenali sebagai kain seluar, seluar Aceh atau seluar Lambok. Kain seluar ada yang pendek dan ada yang panjang. Kain seluar yang pendek hanya separas lutut dan biasanya dipakai untuk bersantai di rumah. Kain seluar yang panjang pula adalah separas betis dan digunakan ketika keluar rumah atau ke majlis rasmi. Kaki dan pinggang kain seluar sangat lebar. Kain seluar terdiri daripada lapan bahagian yang dicantumkan. Empat bahagian yang di tengah berfungsi sebagai kekek supaya selesa dipakai. Kain seluar dipakai seperti memakai samping; melipat ke hadapan (box-pleat) dan menggulungnya atau mengikatnya dengan tali pinggang. 
                Kain seluar dilengkapi dengan satu poket. Poket dibuat pada bahagian hadapan sebelah kiri seluar (bukan pada kekeknya). Kain seluar diperbuat daripada sutera yang berwarna-warni dari kain songket emas atau perak. Bahagian yang paling banyak bunga songketnya ialah bahagian hujung kaki dan bukaan poket. Satu lagi seluar yang kerap dipakai ialah seluar panjang atau seluar panjut. Seluar panjang juga lebar bahagian pinggangnya. Pada kelepet pinggang seluar panjang ada lubang kecil bagi memasukkan pita atau tali pinggang yang digunakan untuk memanjut seluar ini. Seluar panjang terdiri daripada empat bahagian sahaja kerana seluar panjang tidak berkekek seperti kain seluar. Kaki seluar panjang menirus ke bawah. Pada bahagian sisi kaki seluar panjang ada bukaan yang dipasangkan butang. Biasanya lima atau enam butang digunakan. Panjang seluar ini mencecah buku lali.

9.0 KAIN SARUNG

                Kain sarung Melayu terdiri daripada sebidang kain lebar yang dicantumkan kedua-dua hujungnya. Kain sarung diperbuat daripada benang kapas dan sutera. Ada juga kain sarung yang diperbuat daripada tenunan songket. Biasanya kain sarung songket hanya dipakai apabila ada majlis rasmi atau sebagai pakaian pengantin. Kaum lelaki memakai kain sarung dengan baju Melayu. Kain sarung dilipat ke hadapan (dari sisi kiri dan kanan; box-pleat) dan digulung. Kaki kain dilepaskan hingga ke buku lali, Jika kain sarung dipakai bersama-sama seluar, kaki kain sarung disingkatkan hingga ke paras lutut dan menjadi samping. Kaum wanita memakai sarung bersama-sama baju kurung atau baju kebaya. Kain sarung diikat atau dililit di pinggang. Kaum wanita mengikat sarung dengan pelbagai cara. Iaitu dengan cara membuat satu lipatan yang ditindan ke hadapan badan, atau dengan lipatan-lipatan kecil yang dikumpulkan pada salah satu sisi badan; dikenali sebagai ombak mengalun. Untuk mengemaskan atau memastikan kain sarung tidak terlucut, tali pinggang atau pita kain digunakan untuk mengikatnya.
Kepala kain atau bahagian yang pada kain itu dihalakan ke belakang. Ada dua sebab mengapa kain itu dipakai di belakang, pertama, untuk memastikan bahagian itu terserlah; tidak termasuk ke lipatan kain (pada bahagian depan) dan kedua, supaya kelihatan sopan apabila membelakangkan orang di mana kepala kain yang cantik itu menjadi tarikan kepada orang yang membelakangkan. Kaum wanita juga memakai sehelai lagi kain sarung di atas bajunya. Kain sarung ini dipakai dengan tiga cara. Cara pentama dipanggil dagang luar. Dalam cara ini, kain sarung dikumpul di sisi badan dan disauk dengan tangan. Kepala kain dihalakan ke belakang. Cara yang kedua dipanggil kain tudung. Dalam cara ini, kain sarung dipakai menyelubungi kepala. Tujuannya ialah untuk melindungi si pemakai daripada cuaca panas. Kepala kain diletakkan di atas kepala. Cara yang ketiga pula dipanggil kain selempang. Dalam cara ini, kain sarung dikedut menjadi gelungan dan diselempangkan di bahu. Kepala kain diletakkan di hadapan badan.
    10.0 SAMPING
       


               Samping mirip seperti kain sarung, bezanya cuma samping lebih pendek daripada kain sarung. Samping dipakai oleh kaum lelaki Melayu bersama-sama baju Melayu dan seluar panjang. Samping diikat di pinggang di sebelah luar, di atas baju dan seluar. Bahagian kaki samping dilepas hingga ke lutut atau betis. Samping dipakai dengan cara melipat sisi kiri dan sisi kanannya supaya bertindan di tengah-tengah di hadapan badan (box-pleat). Kemudian bahagian yang bertindan itu digulung atau dikemaskan dengan tali pinggang ataupun bengkong. Selain daripada cara yang disebutkan di atas, samping juga dipakai dengan pelbagai gaya supaya lebih menarik. Antaranya ialah dengan cara melipat-lipatnya di sisi badan dan menyimpulnya dengan simpulan seperti tanduk atau bunga, mengikatnya dengan tali pinggang atau bengkong. Jika tali pinggang digunakan, pending dipasangkan menjadi kepala tali pinggang supaya nampak lebih kemas dan lebih hebat.
    Pada asalnya samping lelaki adalah panjang hingga ke buku lali dengan bahagian hadapannya disingkatkan bagi menampakkan seluar di bahagian dalamnya. Kini samping yang lebih pendek; kakinya hingga ke paras lutut lebih digemari kerana lebih ringkas dan lebih selesa dipakai. Di sesetengah tempat, di Johor misalnya, samping dipakai oleh kaum lelaki di sebelah dalam di bawah baju kurung Teluk Belanga mereka. Samping yang dipakai dengan cara ini dipanggil kain samping dagang dalam. 

    11.0 SELENDANG
    
                  Selendang biasa adalah lebih kecil dan lebih nipis daripada selendang panjang. Bagaimanapun corak selendang biasa lebih digemari kerana lebih ringkas dipakai. Selendang biasa dipakai dengan menyangkutkannya di atas satu bahu ataupun kedua-dua bahu; menutupi kepala dan bahu; diselempang di bahu kemudian melintasi badan dan diikat di pinggang; disangkut di bahu dengan hujung yang di belakang diselempangkan di belakang badan dan disangkutkan pada tangan (hujung yang satu bagi dilepaskan dihadapan badan) dan pelbagai cara lagi.
                  Selendang biasa diperbuat daripada tenunan sutera yang sudah menjalani proses ikat dan celup atau dikenali dengan nama kain limar. Sisi selendang biasa dikemaskan dengan tenunan benang emas. Kadang-kadang selendang ini juga disongket atau disulam dengan bunga emas. Di Kelantan, selendang biasa dipakai oleh kaum wanita sebagai kain kemban semasa mengenakan pakaian Cik Siti Wan Kembang. Selendang biasa juga turut digunakan dalam upacara lenggang perut iaitu upacara yang dibuat ketika wanita mengandung tujuh bulan.
 12.0 RUMUSAN
            Pada umumnya, adat resam budaya yang kita bina sejak berabad lama perlu dikekalkan dan dipelihara untuk kesinambungan generasi akan datang. Masyarakat Melayu menitikberatkan keperibadian luhur dan murni, serta dibekalkan dengan pakaian tradisi untuk melindungi anggota badan. Justeru itu, perkara ini perlu diteruskan sebagai satu usaha memelihara pakaian tradisional masyarakat Melayu agar terus dikenali sejajar dengan perkembangan dunia fesyen tanahair. Walaupun persaingan dunia peragaan dan busana telah berkembang pesat, tetapi permintaan terhadap pakaian tradisional Melayu masih mendapat tempat di hati masyarakat kita. Ini bertepatan dengan peribahasa Melayu yang berbunyi ’Tak lekang dek panas dan Tak lapok dek hujan’. Semoga kegemilangan pakaian tradisional Melayu akan terus terpelihara dan berterusan dari satu generasi ke generasi akan datang.